1 Seorang yang berbelas kasihan memberi pinjaman kepada jiran sesamanya, dan barang siapa menolong orang lain melakukan perintah Tuhan.
2 Hendaklah engkau memberikan pinjaman kepada jiran sesamamu pada saat dia kekurangan. Jika engkau berhutang, lunasilah hutang itu tepat pada waktunya.
3 Tepatilah janjimu dengan setia, maka setiap waktu engkau akan mendapat apa yang kauperlukan.
4 Banyak orang menganggap pinjaman sebagai barang yang diperoleh, sehingga menyusahkan orang yang telah menolong mereka.
5 Ada yang bercakap dengan rendah hati dan mencium tangan orang lain sehingga dapat meminjam hartanya. Tetapi kalau tiba waktunya hutang itu harus dilunasi, dia terus menundanya dengan mengatakan bahawa waktunya kurang menguntungkan, atau dengan kata-kata yang tidak berasas.
6 Kalau pemberi pinjaman terus mendesak, bertuahlah jika dia dengan susah payah mendapat separuhnya kembali. Kalau tidak, peminjam itu telah merampas wangnya dan tanpa alasan menjadikan dia musuhnya. Dia bukannya menghormati, melainkan mengutuk, mencela dan menghina orang yang memberi pinjaman kepadanya.
7 Oleh itu banyak orang tidak mahu memberikan pinjaman, bukan kerana jahat, tetapi kerana takut dirampas begitu sahaja.
8 Meskipun begitu, bersabarlah terhadap orang miskin. Jangan biarkan mereka menunggu sedekahmu.
9 Tuhan memerintahkan kita untuk menolong orang miskin; kerana mereka kekurangan, jangan suruh mereka pergi dengan tangan kosong.
10 Lebih baik wangmu hilang kerana menolong saudara atau kawan, daripada hilang kerana berkarat di bawah batu.
11 Gunakanlah hartamu menurut perintah Tuhan Yang Maha Tinggi; hal itu lebih berguna bagimu daripada menyimpan kekayaanmu bagi dirimu sendiri.
12 Derma kepada orang miskin hendaklah menjadi hartamu; amalanmu akan menyelamatkan engkau daripada segala macam kesukaran.
13 Dalam pertengkaran dengan musuh, amalmu lebih ampuh daripada perisai yang kuat atau tombak yang berat.
14 Orang yang baik budi akan menjamin hutang jirannya. Orang yang tidak tahu malu tidak mahu melakukannya.
15 Jangan lupakan jasa seorang yang menanggung engkau, oleh sebab demi engkau dia mempertaruhkan nyawanya.
16 Seorang yang berdosa memboroskan harta orang yang menanggung dia,
17 dan seorang yang tidak tahu berterima kasih melupakan penolongnya.
18 Oleh sebab menanggung orang lain, banyak orang kaya kehilangan harta dan terumbang-ambing dalam kesukaran yang besar. Orang yang berpengaruh kehilangan rumah dan terpaksa mengembara ke negeri-negeri asing.
19 Orang berdosa yang mahu menjadi penjamin hutang untuk mengejar keuntungan akan terlibat dalam tindakan undang-undang.
20 Tolonglah sesamamu menurut kemampuanmu, tetapi berhati-hatilah, jangan sampai engkau sendiri jatuh kerananya.
21 Keperluan utama untuk hidup adalah air, makanan, pakaian, dan rumah tempat berlindung.
22 Lebih baik hidup miskin di pondok sendiri daripada makan hidangan mewah di rumah orang lain.
23 Hendaklah engkau puas dengan apa yang kaumiliki, baik banyak mahupun sedikit, maka engkau tidak akan dicaci maki kerana menumpang sahaja.
24 Sengsaralah hidup seorang yang harus mengembara dari rumah ke rumah, kerana sebagai tetamu dia tidak boleh membuka mulut.
25 Dia menyambut tetamu dan menyediakan minum, tetapi tidak ada yang mengucapkan terima kasih kepadanya. Malah dia harus mendengar kata-kata yang menyakitkan hati seperti,
26 “Hai perantau, siapkan meja! Kalau ada sesuatu padamu, berilah aku makan.
27 Hai perantau, silakan pergi untuk memberi tempat kepada orang terhormat. Saudaraku akan datang dan aku memerlukan tempatmu itu!”
28 Bagi orang yang halus budi, sungguh berat apabila dicaci maki kerana menumpang di rumah orang dan dicemuh oleh pemberi pinjaman.