1 Jangan bergantung kepada kekayaan dan jangan jadikannya jaminan hidupmu.
2 Jangan ikut setiap kecenderungan walaupun engkau mampu, dan jangan ikuti hawa nafsumu.
3 Jangan berkata, “Tak ada yang berkuasa atas diriku.” Nanti engkau dihukum oleh Tuhan dengan berat.
4 Jangan berkata, “Memang aku sudah berdosa, tetapi aku tak akan dihukum kerana Tuhan sabar.”
5 Jangan lakukan dosa demi dosa kerana yakin bahawa engkau pasti diampuni Tuhan.
6 Jangan berkata, “Belas kasihan Tuhan sangat besar. Dosaku yang banyak ini pasti diampunkan.” Memang Tuhan berbelas kasihan, tetapi Dia juga menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap orang yang berdosa.
7 Kembalilah segera kepada Tuhan dan jangan tunda-tunda saat itu, kerana kemurkaan-Nya menimpa engkau dengan tiba-tiba dan engkau binasa pada saat hukuman-Nya.
8 Jangan bergantung kepada kekayaan yang diperoleh dengan tidak jujur, kerana kekayaan itu tidak akan berguna sedikit pun pada waktu engkau ditimpa bencana.
9 Jangan cuba menyenangkan hati setiap orang dan jangan bersetuju dengan setiap pendapat, kerana begitulah kelakuan orang berdosa yang lidah bercabang.
10 Jadilah orang yang tegas pendirian dan biarlah perbuatanmu selaras dengan perkataanmu.
11 Hendaklah cepat mendengar tetapi lambat menjawab.
12 Jawablah hanya kalau engkau tahu jawapannya; kalau tidak, lebih baik diam.
13 Perkataanmu membuat engkau dihormati atau dihina, dan perkataanmu dapat mencelakakan engkau.
14 Jangan sampai engkau disebut memfitnah dan jangan sebarkan umpatan yang menjatuhkan orang. Seorang pencuri mendapat penghinaan, tetapi orang yang suka berdusta mendapat hukuman berat.
15 Jangan berlaku bodoh dalam perkara besar atau kecil.