Sirakh 30 BMDC

Mendidik Anak

1 Seorang bapa yang sayang kepada anaknya sering menyebat dia supaya anak itu menjadi kebanggaannya pada kemudian hari.

2 Seorang yang mendidik anaknya dengan baik akan mendapat kepuasan daripadanya. Dia boleh membanggakan anaknya di tengah kenalan-kenalannya.

3 Seorang yang mengajar anaknya dengan baik, tidak hanya dapat berbesar hati di hadapan kawan-kawannya, tetapi juga membuat musuhnya iri hati.

4-5 Selama hidupnya dia bergembira apabila melihat anaknya. Pada waktu meninggal, dia tidak bersedih hati. Sesungguhnya, dia tidak mati, oleh sebab dia meninggalkan seorang anak yang mirip dengan dirinya.

6 Dia meninggalkan seorang yang akan membalas dendam terhadap musuh-musuhnya dan membalas budi sahabat-sahabatnya.

7 Tetapi seorang yang memanjakan anaknya akan dilukai hatinya. Dia berasa susah hati setiap kali mendengar tangisan anaknya.

8 Kuda yang tidak dijinakkan menjadi degil. Begitu juga halnya dengan anak yang tidak ditertibkan.

9 Seorang yang menimang anaknya dan bermain dengan dia, akan dikecewakan kelak dan disedihkan olehnya.

10 Orang yang sekarang tertawa bersama-sama anak mereka, akan menangisi mereka kelak dan akhirnya akan menggertakkan gigi kerana menyesal.

11 Jangan beri kebebasan kepada anakmu pada masa mudanya dan jangan berpura-pura tidak melihat kesalahannya.

12 Tundukkanlah dan sebatlah dia pada masa kecilnya supaya dia menghormati kewibawaanmu. Kalau tidak, dia akan menjadi keras kepala dan tidak taat kepadamu.

13 Jadi didiklah anakmu supaya tertib. Bersusah payahlah mengajar dia supaya engkau tidak sakit hati kerana dia mempermalukan engkau.

Kesihatan

14 Lebih baik miskin tetapi sihat dan kuat, daripada kaya tetapi sering sakit.

15 Badan yang sihat dan kuat lebih berharga daripada emas dan kemewahan besar.

16 Tidak ada kekayaan yang melebihi kesihatan badan, dan tidak ada kesenangan yang melebihi keriangan hati.

17 Lebih baik mati dan berehat kekal daripada hidup sengsara kerana selalu sakit.

18 Menyajikan makanan enak kepada orang yang sakit tenat sama sahaja dengan menaruh makanan di atas kuburan.

19 Tidak ada gunanya menghidangkan makanan kepada berhala, oleh sebab berhala tidak dapat memakannya atau mencium baunya. Begitu juga halnya seorang yang diseksa oleh Tuhan;

20 dia memandang makanannya dan mengeluh seperti orang yang dikembiri memeluk seorang gadis.

Suka dan Duka

21 Jangan menyerah kepada kesedihan dan jangan dengan sengaja menyeksa diri.

22 Hati yang riang membuat orang panjang umur dan hidup bahagia.

23 Hiburlah hatimu dan bersukacitalah. Buanglah kesedihanmu jauh-jauh, oleh sebab kesedihan tidak pernah menguntungkan, malahan telah membinasakan banyak orang.

24 Kekhuatiran membuat orang cepat tua; iri hati dan kemarahan memperpendek umur.

25 Orang yang gembira dan baik hati makan dengan nikmat.