1 Ada teguran yang dilontarkan pada saat yang tidak tepat. Ada kalanya lebih bijaksana untuk berdiam diri.
2 Tetapi lebih baik memberi teguran daripada terus marah.
3 Orang yang mengakui kesalahan tidak akan rugi.
4 Orang yang mahu memaksakan hukum dengan kekerasan sama dengan orang dikembiri yang ingin memperkosa seorang gadis.
5 Ada orang yang dianggap bijaksana kerana tidak banyak bercakap, dan ada yang dibenci kerana perbualannya.
6 Ada yang diam kerana tidak tahu jawapannya, dan ada yang diam kerana tahu saat yang tepat untuk bercakap.
7 Seorang yang bijaksana menahan kata-katanya sehingga saat yang tepat, tetapi orang bodoh dan pembual bercakap melewati batas waktu.
8 Orang yang bercakap terlalu lama dan tidak memberi kesempatan kepada orang lain untuk membuka mulut akan dibenci.
9 Kesusahan dapat membawa keuntungan, dan kemujuran yang tidak disangka-sangka dapat membawa kerugian.
10 Kadang-kadang pemberianmu sama sekali tidak membawa keuntungan bagimu, tetapi ada kalanya pemberianmu dibalas dengan berlipat ganda.
11 Ada orang yang direndahkan akibat mencari kemasyhuran, tetapi ada juga yang bangkit daripada kehinaan ke tahap kehormatan.
12 Kadang-kadang sesuatu yang dibeli dengan harga murah, ternyata dibayar jauh terlalu mahal.
13 Kalau orang bijaksana bercakap, mereka mendapat banyak sahabat. Tetapi kalau orang bodoh bercakap ramah, hal itu sia-sia sahaja.
14 Pemberian seorang bodoh tidak berguna bagimu, oleh sebab dia mengharapkan banyak balasan.
15 Dia memberi sedikit tetapi banyak mencela, dan dia bercakap kuat supaya didengar semua orang. Hari ini dia memberi pinjaman dan pada esoknya dia memintanya kembali. Orang seperti itu patut dibenci.
16 Orang bodoh berkata, “Aku tidak mempunyai sahabat. Tidak ada yang berterima kasih terhadap amalku. Mereka mahu menerima pemberianku, tetapi di belakangku mereka membusukkan namaku.”
17 Orang sebodoh itu terus-menerus menjadi ejekan orang.
18 Lebih baik jatuh kerana salah langkah daripada jatuh kerana salah cakap. Kejatuhan orang jahat sama seperti orang yang jatuh tergelincir.
19 Orang yang tidak tahu adat bagaikan cerita tidak sesuai yang diulang-ulang oleh orang bodoh.
20 Peribahasa yang diucapkan orang bodoh tidak akan diterima, oleh sebab diucapkan pada saat yang tidak tepat.
21 Ada orang yang terhindar daripada dosa kerana terlalu miskin. Dia dapat berehat tanpa diganggu oleh suara batinnya.
22 Ada orang yang kehilangan harga diri kerana berasa segan untuk bercakap di hadapan orang bodoh.
23 Ada orang malu menepati janji-janji yang dibuat kepada kawan, dan tidak seharusnya kawan itu dijadikannya lawan.
24 Dusta merupakan noda yang buruk pada seseorang; orang yang kurang ajar berdusta terus-menerus.
25 Seorang pencuri lebih baik daripada seorang pendusta, tetapi kedua-duanya menuju kebinasaan.
26 Kebiasaan membohong adalah sesuatu yang memalukan, dan rasa malunya tidak akan lenyap.
27 Orang yang bijak bercakap akan maju, dan orang arif disukai para pembesar.
28 Orang yang mengerjakan tanah akan memungut tuaian yang berlimpah. Begitu juga orang yang disukai para pembesar dapat pengampunan terhadap kesalahan mereka.
29 Sumbangan dan hadiah membutakan mata orang bijaksana dan menghalangi mereka daripada memberi teguran.
30 Kebijaksanaan yang disembunyikan seperti harta yang terpendam; kedua-duanya tidak ada gunanya.
31 Lebih baik orang yang menyembunyikan kebodohan daripada orang yang menyembunyikan kebijaksanaan.