1 Ya Tuhan, Allah semesta alam, pandanglah kami dan kasihanilah kami. Buatlah semua bangsa takut kepada-Mu.
2 Bertindaklah terhadap bangsa-bangsa asing, supaya mereka menyaksikan kekuasaan-Mu.
3 Engkau telah menggunakan kami untuk menyatakan kesucian-Mu kepada mereka. Sudilah menggunakan mereka untuk menyatakan kebesaran-Mu kepada kami.
4 Semoga mereka mengetahui apa yang kami ketahui, iaitu bahawa tidak ada Allah selain Engkau ya Tuhan.
5 Berilah tanda-tanda dan lakukanlah keajaiban-keajaiban baru, dan tunjukkanlah kuasa-Mu yang mulia kepada kami.
6-8 Semoga cepat datang saatnya apabila semua orang memuji perbuatan-Mu yang besar. Lampiaskanlah kemurkaan-Mu yang bernyala-nyala dan binasakanlah semua musuh. Musnahkanlah semua orang yang menindas umat-Mu.
9 Hancurkanlah penguasa musuh yang menyangka bahawa mereka sendiri yang penting di dunia ini.
10 Sudilah mengumpulkan suku-suku Israel dan kembalikanlah tanah pusaka kepada mereka seperti sediakala.
11 Ya Tuhan, kasihanilah Israel, bangsa yang disebut menurut nama-Mu dan yang Kauperlakukan sebagai anak-Mu yang sulung.
12 Kasihanilah Yerusalem, kota suci yang Kaupilih menjadi tempat kediaman-Mu.
13 Penuhilah umat-Mu di Bukit Sion dengan keagungan-Mu dan dengan kisah-kisah tentang kebaikan-Mu.
14 Berikanlah kesaksian kepada umat-Mu yang Kauciptakan sejak semula, dan penuhilah nubuat-nubuat yang telah diucapkan atas nama-Mu.
15 Ganjarilah orang yang mengharapkan Engkau, dan tunjukkanlah bahawa nabi-nabi-Mu dapat dipercayai.
16 Ya Tuhan, dengarlah doa hamba-hamba-Mu sesuai dengan berkat Harun atas umat-Mu.
17 Maka semua orang di bumi akan mengakui bahawa Engkaulah Tuhan, Allah yang kekal.
18 Setiap makanan dapat dicernakan oleh perut, tetapi makanan yang satu lebih baik daripada yang lain.
19 Seperti lidah dapat membezakan rasa bermacam-macam jenis daging, begitu juga fikiran yang tajam dapat mengenali kata-kata dusta.
20 Orang licik menimbulkan banyak kesusahan, tetapi orang yang berpengalaman dapat menangkisnya.
21 Seorang wanita harus menerima siapa sahaja untuk menjadi suaminya, tetapi seorang lelaki harus memilih wanita yang paling baik.
22 Kecantikan seorang wanita menggembirakan hati dan melebihi segala keinginan.
23 Kalau kata-katanya ramah dan lemah lembut, suaminya lebih beruntung daripada orang lain.
24 Kalau seorang lelaki berkahwin, dia mendapat sesuatu yang paling berharga: seorang penolong yang sesuai baginya dan yang dapat menunjang dia.
25 Tanah milik yang tidak berpagar akan dirompak. Orang yang tidak beristeri mengembara sambil mengeluh.
26 Siapa akan percaya kepada perompak yang tangkas, yang lari dari kota ke kota?
27 Siapa pula akan percaya kepada seorang yang tidak mempunyai rumah dan menginap di mana sahaja dia kemalaman?