1 Jangan berbuat jahat, maka engkau tidak akan ditimpa yang jahat.
2 Jauhilah dosa, maka dosa akan menjauhi engkau.
3 Jangan tabur benih ketidakadilan, nanti engkau mendapat kembali tujuh kali lipat.
4 Jangan minta pangkat tertinggi daripada Tuhan atau kedudukan penting daripada raja.
5 Jangan berlagak tulus di hadapan Tuhan dan jangan berlagak bijaksana di hadapan raja.
6 Jangan ingin menjadi hakim, nanti engkau tidak cukup kuat untuk membanteras ketidakadilan. Jika engkau membiarkan dirimu dipengaruhi oleh orang yang berkuasa, namamu sebagai orang jujur akan dinodai.
7 Jangan lakukan kejahatan terhadap masyarakat dan jangan malukan dirimu di hadapan umum.
8 Jangan lakukan dosa yang sama hingga dua kali. Berdosa satu kali sahaja pun engkau sudah dihukum.
9 Jangan berfikir, “Allah Yang Maha Tinggi akan ingat kepada pemberianku yang berlimpah-limpah dan menerima persembahan yang kuberikan kepada-Nya.”
10 Jangan berasa jemu waktu berdoa dan jangan lepaskan peluang untuk memberi sedekah kepada orang miskin.
11 Jangan tertawakan orang yang susah, kerana Yang Maha Esa merendahkan seseorang dan meninggikannya kembali.
12 Jangan buat cerita-cerita bohong tentang saudara atau sahabatmu.
13 Jangan sekali-kali berdusta, oleh sebab dusta itu tidak mungkin menghasilkan yang baik.
14 Jangan bermulut besar dalam pertemuan rasmi dan jangan ulang perkataan dalam doa.
15 Jangan segan bertani atau melakukan kerja kasar yang lain. Allah Yang Maha Tinggi memberikan pekerjaan itu kepada kita.
16 Jangan masuk golongan orang yang berdosa; ingatlah bahawa kemurkaan Tuhan tidak ditunda-tunda.
17 Rendahkanlah dirimu sedalam-dalamnya, kerana orang yang berdosa dihukum dengan api dan ulat.
18 Jangan khianati teman demi wang, atau kawan sejati demi emas.
19 Jangan lepaskan peluang untuk memperisteri seorang yang baik dan bijaksana, oleh sebab kasihnya lebih berharga daripada emas.
20 Jangan berbuat jahat terhadap seorang pelayan yang bekerja dengan setia, atau terhadap seorang buruh yang bekerja keras bagimu.
21 Kasihilah seorang pelayan yang bijaksana dan janganlah batasi kebebasannya.
22 Peliharalah ternakanmu dengan baik dan simpanlah ternakan itu kalau menguntungkan engkau.
23 Didiklah anak-anakmu dan ajarlah mereka sejak kecil supaya bertatatertib.
24 Jagalah anak perempuanmu supaya tetap murni, dan janganlah terlalu manjakan dia.
25 Apabila engkau mengahwinkan dia, engkau telah menunaikan tugas yang penting. Tetapi berikanlah dia kepada lelaki yang arif.
26 Jika engkau mempunyai isteri yang baik, janganlah ceraikan dia. Tetapi jangan serahkan dirimu kepada seorang yang tidak kaucintai.
27 Hormatilah bapamu dengan segenap hatimu, dan jangan lupakan penderitaan ibumu pada waktu melahirkan engkau.
28 Ingatlah bahawa engkau anak mereka. Bagaimanakah akan kaubalas segala jasa mereka?
29 Hendaklah engkau takut kepada Tuhan dengan segenap hatimu dan hormatilah imam-imam-Nya.
30 Cintailah Penciptamu dengan seluruh kekuatanmu, dan jangan lalaikan orang yang melakukan pelayanan-Nya.
31 Agungkanlah Tuhan dan hormatilah imam-imam. Berilah mereka apa yang diperintahkan kepadamu: hasil tanah yang pertama, korban untuk mengampunkan dosa, paha binatang korban, serta semua korban dan persembahan lain yang ditentukan.
32 Tolonglah orang miskin, maka engkau akan menerima berkat Tuhan dengan limpah.
33 Hendaklah engkau bermurah hati kepada setiap makhluk hidup, dan orang mati pun jangan kaukecualikan.
34 Bersedihlah dengan orang yang sedih dan berdukacitalah dengan orang yang berdukacita.
35 Jangan segan menengok orang sakit, oleh sebab engkau akan dikasihi kerana perbuatan seperti itu.
36 Dalam segala tindakanmu, jangan lupa bahawa pada suatu ketika engkau akan mati, maka untuk selamanya engkau tidak akan berdosa.