1 Seorang yang takut kepada Tuhan menunjukkannya dalam tindakannya. Orang yang setia kepada Taurat Tuhan akan memperoleh kebijaksanaan.
2 Kebijaksanaan akan menyambut engkau seperti seorang ibu atau pengantin yang masih perawan.
3 Engkau diberinya pengertian sebagai makanan dan kebijaksanaan sebagai minuman.
4 Orang yang bersandar padanya tidak akan jatuh dan orang yang percaya kepadanya tidak akan mendapat malu.
5 Engkau dijadikan lebih terhormat daripada kawan-kawanmu dan engkau diberi kata-kata yang tepat waktu engkau berucap di hadapan umat.
6 Engkau akan menemukan sukacita dan kebahagiaan yang sejati dan namamu akan diingat selama-lamanya.
7 Orang bodoh tidak akan memperolehnya dan orang yang berdosa tidak akan melihatnya.
8 Kebijaksanaan itu jauh daripada orang yang bongkak dan tidak terfikir oleh orang yang suka berdusta.
9 Lagu-lagu pujian tidak patut dinyanyikan oleh orang yang berdosa, oleh sebab lagu-lagu itu tidak berasal daripada Tuhan.
10 Lagu pujian yang sejati adalah ungkapan kebijaksanaan dan diilhami oleh Tuhan sendiri.
11 Jangan salahkan Tuhan kerana dosamu dan jangan lakukan sesuatu yang dibenci-Nya.
12 Jangan berkata bahawa Tuhan telah menyesatkan engkau, kerana Dia tidak memerlukan bantuan orang yang berdosa.
13 Tuhan membenci segala perbuatan keji, dan orang yang takut kepada Tuhan juga tidak tertarik kepada perbuatan keji.
14 Ketika Tuhan menciptakan manusia pada awal mula, Dia memberi mereka kekuasaan untuk mengambil keputusan.
15 Jika engkau mahu, engkau dapat mentaati perintah-perintah Tuhan. Engkau dapat memilih sama ada mahu setia kepada-Nya atau tidak.
16 Tuhan menempatkan api dan air di hadapanmu. Ambil sahaja mana yang kausukai.
17 Hidup dan mati ada pada manusia. Apa yang dipilih mereka akan diberikan kepada mereka.
18 Besarlah kebijaksanaan dan kuasa Tuhan, dan Dia melihat segalanya.
19 Dia tahu semua perbuatan manusia dan memperhatikan orang yang bertakwa.
20 Dia tidak menyuruh orang menjadi jahat dan tidak mengizinkan sesiapa pun untuk berdosa.