1 Jangan tentang orang yang berkuasa, supaya engkau tidak jatuh ke dalam tangan mereka.
2 Jangan bertengkar dengan orang yang kaya, supaya mereka tidak menggunakan seluruh kemampuan untuk melawan engkau. Banyak orang telah dibinasakan oleh emas, dan raja-raja diselewengkannya.
3 Jangan bertengkar dengan seorang pembual, kerana hal itu sama dengan menambah kayu bakar ke dalam api.
4 Jangan bersenda gurau dengan orang yang kurang ajar, supaya nenek moyangmu tidak dihinanya.
5 Jangan kecam orang yang sedang bertaubat daripada dosa. Ingatlah bahawa kita semua orang yang bersalah.
6 Jangan pandang rendah orang yang lanjut usia, oleh sebab antara kita pun ada yang menjadi tua.
7 Jangan bergembira kerana kematian seseorang; ingatlah bahawa kita semua harus mati.
8 Jangan remehkan telaah orang bijaksana. Pelajarilah peribahasa mereka, supaya engkau menjadi orang yang terdidik dan dapat mengabdi kepada para penguasa.
9 Perhatikanlah tutur kata orang tua-tua, kerana mereka pun berguru kepada nenek moyang mereka. Engkau dapat memperoleh pengertian daripada mereka dan belajar memberi jawapan pada waktu yang tepat.
10 Jangan nyalakan nafsu orang yang berdosa, nanti engkau ikut terbakar.
11 Jangan mengalah terhadap orang yang sombong, nanti mereka memutarbalikkan perkataanmu untuk menyerang engkau.
12 Jangan pinjamkan sesuatu kepada orang yang lebih berkuasa daripada engkau. Jika engkau telah meminjamkannya, anggaplah benda itu sebagai barang yang hilang.
13 Jangan menjadi penjamin hutang orang lain kalau itu melebihi kemampuanmu. Kalau sudah terlanjur, engkau harus bersedia membayarnya.
14 Jangan dakwa seorang hakim, oleh sebab dia pasti menang kerana kedudukannya.
15 Jangan ikut seorang yang mengembara dengan membabi buta, kerana dia hanya menyusahkan engkau. Dia akan bertindak sesuka hatinya, dan engkau akan mati kerana kebodohannya.
16 Jangan berkelahi dengan seorang yang suka naik darah, dan jangan pergi ke tempat sunyi bersama dengan dia. Orang seperti itu suka melakukan keganasan, dan dia akan membunuh engkau di tempat yang tidak ada pertolongan bagimu.
17 Jangan minta nasihat daripada orang bodoh, oleh sebab mereka tidak akan merahsiakan perkara.
18 Apa yang mesti dirahsiakan, jangan kaulakukan di hadapan orang yang tidak kaukenal, oleh sebab engkau tidak tahu apa yang akan disiarkannya.
19 Jangan buka hatimu kepada sembarang orang dan jangan terima jasa baik mereka.