Sirakh 41 BMDC

Maut

1 Fikiran tentang maut terasa pahit bagi seorang kaya yang hidup tenteram di tengah miliknya, yang tidak kenal susah, yang berhasil dalam segalanya dan masih dapat menikmati makanannya.

2 Maut disambut dengan baik oleh orang yang hidup dalam kemiskinan, yang lemah, yang lanjut usia, yang dibebani banyak kesusahan, yang buta dan hilang kesabaran.

3 Jangan takut kepada keputusan maut. Ingatlah bahawa ada orang yang mati sebelum dan sesudah engkau.

4 Maut adalah keputusan Tuhan bagi setiap makhluk hidup. Engkau tidak dapat menolak keinginan Allah Yang Maha Tinggi. Di dunia orang mati tidak menjadi soal sama ada engkau hidup selama sepuluh, seratus, atau seribu tahun.

Kesudahan Orang Jahat

5 Anak-anak orang yang berdosa dan yang dibesarkan dalam lingkungan jahat menjadi jahat pula.

6 Mereka akan kehilangan milik pusaka mereka, dan keturunan mereka akan dihina untuk selama-lamanya.

7 Seorang bapa yang kejam akan dicela anak-anaknya kerana dialah yang menjadi penyebab kehinaan mereka.

8 Malanglah kamu, hai orang kejam yang telah meninggalkan hukum Allah Yang Maha Tinggi!

9 Kamu lahir untuk dikutuk, dan sesudah mati kamu tetap dikutuk.

10 Yang berasal dari bumi kembali ke bumi. Begitulah orang jahat beralih daripada kutuk kepada kebinasaan.

11 Kita berkabung untuk orang mati, tetapi nama buruk orang yang berdosa akan dilupakan.

12 Jagalah nama baikmu, oleh sebab nama itu tinggal bagimu lebih lama daripada seribu harta emas.

13 Hidup sejahtera terbatas waktunya, tetapi nama baik bertahan selama-lamanya.

Harga Diri

14 Anak-anakku, hiduplah seperti yang diajarkan kepadamu, maka kamu akan tenteram. Kebijaksanaan yang disembunyikan sama dengan harta yang tidak kelihatan; kedua-duanya tidak berguna.

15 Seorang yang menyembunyikan kebodohannya lebih baik daripada seorang yang menyembunyikan kebijaksanaannya.

16 Tidak setiap perasaan malu itu baik, dan tidak semua dinilai tepat oleh semua orang. Hendaknya kamu berasa malu tentang hal-hal yang saya sebutkan di sini.

17 Kamu harus berasa maluterhadap ibu bapamu kalau kamu berbuat yang tidak senonoh;terhadap seorang penguasa atau orang terkemuka kalau kamu berdusta;

18 terhadap seorang hakim dan penguasa kalau kamu melanggar hukum;terhadap himpunan rakyat kalau kamu berbuat salah;terhadap sahabat atau rakan kalau kamu tidak jujur;

19 terhadap jiran kalau kamu mencuri.Di hadapan kebenaran Allah dan perjanjian-Nya kamu harus berasa malu kalau:menyandarkan siku di meja makan;menghina orang waktu memberi atau menerima sesuatu;

20 tidak membalas salam orang lain;melirik kepada seorang pelacur;

21 menolak permintaan seorang saudara;mengambil bahagian orang lain atau apa yang diberikan kepada orang lain;menatapi isteri orang lain;

22 bergaul akrab dengan pelayan perempuan orang itu-- janganlah dekati tempat tidurnya;menghina sahabat-sahabatmu;mencela orang setelah engkau memberikan sesuatu;

23 menyiarkan apa yang telah kamu dengar;membocorkan rahsia yang disampaikan kepadamu.Itulah saat-saat yang tepat bagimu untuk berasa malu, maka kamu akan dihormati orang.