Sirakh 31 BMDC

Persoalan kerana Kekayaan

1 Orang yang selalu cemas tentang kekayaan tidak dapat tidur dan menjadi kurus.

2 Seorang yang cemas tentang nafkahnya tidak dapat memejamkan mata. Dia seperti diganggu oleh penyakit yang teruk.

3 Orang kaya berjerih payah untuk menambah harta. Apabila mereka berehat, mereka menikmati kekayaan.

4 Orang miskin berjerih payah tetapi nafkah mereka berkurang. Apabila mereka berehat, mereka melarat.

5 Orang yang mencintai wang tidak terlepas daripada dosa, dan orang yang memburu harta akan tersesat.

6 Banyak orang telah jatuh kerana emas, dan mereka dibinasakannya.

7 Wang merupakan perangkap bagi orang yang mendewa-dewakannya, dan setiap orang yang bodoh jatuh ke dalamnya.

8 Berbahagialah orang kaya yang kedapatan tidak bersalah mengejar wang.

9 Tunjukkan orang seperti itu, maka kita menyebut dia bahagia, oleh sebab dia telah melakukan keajaiban di tengah bangsanya.

10 Orang yang tahan uji dapat berbangga. Siapakah yang mendapat peluang untuk berdosa atau berbuat jahat tetapi tidak menggunakan peluang itu?

11 Orang itu akan tetap hidup sejahtera dan amalnya akan dipuji oleh umat.

Sopan Santun Sewaktu Makan

12 Jika engkau duduk di meja yang limpah dengan makanan, jangan rakus dan jangan berkata, “Wah, banyak sekali!”

13 Ingatlah bahawa tidak sopan menginginkan segala sesuatu yang kaulihat. Daripada seluruh ciptaan, tidak ada yang lebih rakus daripada mata. Itulah sebabnya mata mencucurkan air mata pada setiap wajah.

14 Jangan ambil apa sahaja yang kaulihat dan jangan ambil apa yang mahu diambil orang lain.

15 Hormatilah selalu orang yang makan bersama dengan engkau, dan perlakukanlah mereka seperti engkau sendiri ingin diperlakukan.

16 Apa sahaja yang dihidangkan kepadamu, makanlah dengan sopan seperti manusia. Jangan makan dengan rakus, nanti engkau dibenci orang.

17 Orang yang tahu adat, berhenti makan paling dahulu. Orang yang makan dengan lahap menjengkelkan.

18 Kalau makan bersama banyak orang, jangan mula dahulu.

19 Makanan yang sedikit sudah cukup bagi orang yang tahu adat. Mereka tidak akan sesak nafas di tempat tidur.

20 Makan terlalu banyak mengakibatkan mual, sakit perut, dan susah tidur. Orang yang makan secukupnya sahaja akan tidur nyenyak dan bangun dengan segar pada pagi hari.

21 Jika engkau terpaksa makan terlalu banyak, pergilah memuntahkannya, maka engkau akan berasa lega.

22 Hai anakku, dengarlah perkataanku dan laksanakannya, dan akhirnya engkau akan menghargainya. Batasilah dirimu dalam segala pekerjaanmu, maka engkau tidak akan kena penyakit.

23 Tuan rumah yang murah hati dipuji orang, dan pujian itu dapat dipercayai.

24 Tetapi tuan rumah yang kikir dicela oleh orang di kota, dan tepatlah celaan itu.

Wain

25 Jangan jadi orang yang jaguh minum wain, oleh sebab wain telah membinasakan banyak orang.

26 Kerasnya keluli diuji dalam perapian. Begitu juga hati yang sombong diuji waktu orang bertengkar dalam keadaan mabuk.

27 Wain memberi semangat, asal diminum dengan batas. Bagaimana hidup ini andaikata tidak ada wain? Wain diciptakan untuk menggirangkan hati manusia.

28 Kalau diminum pada waktu yang tepat dan dengan sederhana, wain dapat menjadikan orang cergas dan riang gembira.

29 Tetapi kalau diminum dengan berlebihan, wain membuat orang kesal hati, marah-marah, dan suka berkelahi.

30 Kalau orang bodoh mabuk, mereka marah-marah dan merugikan diri sendiri. Tenaga mereka berkurang dan mereka mudah dilukai orang.

31 Jangan cela kawanmu yang telah minum wain bersama-samamu. Jangan hina dia sementara dia bersenang-senang. Masa itu bukan saatnya untuk mencela orang atau menuntut sesuatu.