1 Seorang yang takut kepada Tuhan tidak akan kena malapetaka; sebaliknya dalam percubaan dia selalu diselamatkan Tuhan.
2 Orang yang arif tidak membenci Taurat, tetapi orang yang tidak jujur terumbang-ambing seperti perahu di dalam taufan.
3 Seorang yang arif, percaya kepada Taurat seperti dia percaya kepada ramalan suci.
4 Siapkanlah kata-kata sambutanmu, maka engkau akan didengarkan orang. Sebelum menjawab, susunlah dahulu apa yang kauketahui.
5 Fikiran orang dungu seperti roda kereta yang terus berputar.
6 Kawan yang suka mengecam seperti kuda yang berahi; kuda itu terus meringkik, walau sesiapa pun yang menungganginya.
7 Mengapakah sesuatu hari lebih suci daripada hari-hari yang lain, walaupun sepanjang tahun setiap hari disinari matahari yang sama?
8 Tuhan Yang Maha Tahu membezakan hari-hari itu, sehingga ada hari pesta dan masa khusus.
9 Beberapa hari ditentukan-Nya sebagai hari perayaan yang suci, sedangkan hari-hari lain dijadikan-Nya hari biasa.
10 Seperti Adam, setiap manusia dijadikan daripada tanah.
11 Tetapi Tuhan, dalam kebijaksanaan-Nya menjadikan mereka berbeza-beza, dan masing-masing diberinya jalan yang berlainan.
12 Ada yang diberkati dan ditinggikan Tuhan, ada pula yang disucikan dan didekatkan pada diri-Nya. Tetapi ada juga yang dikutuk dan direndahkan serta diusir dari tempatnya.
13 Seperti tanah liat di tangan tukang periuk yang membentuknya menurut keinginannya, begitu juga manusia di tangan Pencipta yang memperlakukan mereka menurut kehendak-Nya.
14 Yang baik berlawanan dengan yang jahat, dan hidup berlawanan dengan mati. Begitu juga orang yang berdosa berlawanan dengan orang yang bertakwa.
15 Pandanglah semua karya Tuhan Yang Maha Tinggi; semuanya diciptakan berpasangan, yang satu berlawanan dengan yang lain.
16 Saya sendiri datang terakhir untuk berjaga, seperti orang yang memungut apa yang ditinggalkan oleh para pemetik buah anggur.
17 Dengan berkat Tuhan saya berhasil baik seperti seorang pemetik buah anggur yang dapat mengisi tempat memerah buah anggurnya.
18 Tetapi ketahuilah bahawa saya tidak melakukan semua itu bagi diriku sendiri, tetapi bagi semua orang yang ingin belajar.
19 Dengarlah dan perhatikanlah kata-kataku, hai para pembesar bangsa dan pemimpin umat!
20 Selama hidupmu, jangan biarkan dirimu dikuasai orang lain, sama ada anakmu, isterimu, saudaramu, atau sahabatmu. Jangan serahkan milikmu kepada orang lain, nanti engkau menyesal dan harus memintanya kembali.
21 Selama hayat dikandung badan, jangan serahkan tempatmu kepada sesiapa pun.
22 Lebih baik anak-anakmu bergantung kepadamu daripada sebaliknya.
23 Hendaklah engkau mengawal segala yang kaulakukan, dan jangan biarkan namamu dinodai.
24 Berikanlah warisanmu hanya pada akhir hidupmu, kalau ajalmu sudah dekat.
25 Seekor keldai harus diberi rumput dan beban serta dipukul dengan tongkat. Seorang pelayan harus diberi makan dan pekerjaan serta ditertibkan.
26 Suruhlah pelayanmu bekerja, maka engkau dapat berehat. Kalau dibiarkan berlalai-lalai, dia akan mencari kebebasan.
27 Seekor binatang dapat dijinakkan dengan kok dan kekang; seorang pelayan yang jahat patut didakwa dan dihukum.
28 Suruhlah dia bekerja dan jangan biarkan dia lalai, kerana kelalaian membawa orang kepada kejahatan.
29 Jadi suruhlah pelayanmu bekerja semestinya, dan kalau dia tidak menurut, rantailah dia.
30 Tetapi jangan terlalu keras terhadap sesiapa pun dan jangan lakukan apa-apa yang tidak adil.
31 Jika engkau mempunyai seorang pelayan, perlakukanlah dia seperti engkau sendiri ingin diperlakukan, oleh sebab dia sudah kaubeli dengan hasil jerih payahmu.
32 Perlakukanlah dia sebagai saudaramu, kerana engkau tidak dapat hidup tanpa dia.
33 Jika kauperlakukan dia dengan buruk lalu dia lari, di manakah engkau akan mencari dia?