Sirakh 34 BMDC

Mimpi Tidak Bererti

1 Seorang yang bodoh tersesat dengan harapan kosong, dan fikirannya mengawang kerana mimpi.

2 Orang yang percaya pada mimpi seperti orang yang mahu menangkap bayangan atau memburu angin.

3 Yang dilihat dalam mimpi hanya seperti pantulan muka di dalam cermin.

4 Yang kotor tidak dapat menghasilkan yang bersih, begitu juga khayalan tidak dapat menghasilkan yang benar.

5 Mimpi, nujum, dan tenung hanya khayalan, seperti yang dilihat seorang wanita yang sedang sakit bersalin.

6 Jangan perhatikan mimpi, kecuali yang datang daripada Tuhan.

7 Mimpi telah menyesatkan banyak orang; yang percaya kepadanya akan tergelincir.

8 Taurat dapat dipenuhi tanpa mimpi yang menyesatkan, dan kebijaksanaan sudah sempurna apabila diucapkan oleh orang yang dapat dipercayai.

Pengembaraan

9 Seorang yang banyak mengembara, banyak pula pengetahuannya. Seorang yang banyak pengalamannya bercakap dengan penuh pengertian.

10 Seorang yang kurang pengalaman hanya sedikit pengetahuannya. Tetapi dengan mengadakan perjalanan, orang mengumpulkan kepandaian.

11 Dalam perjalanan-perjalanan saya, banyaklah yang saya lihat dan pelajari, lebih banyak daripada yang dapat saya katakan.

12 Seringkali saya dalam bahaya maut, tetapi diselamatkan oleh pengalaman-pengalaman itu.

Takut kepada Tuhan

13 Orang yang takut kepada Tuhan akan tetap hidup, oleh sebab mereka berharap kepada Dia yang dapat menyelamatkan.

14 Orang yang takut kepada Tuhan tidak pernah takut dan cemas, kerana Tuhan adalah harapan mereka.

15 Berbahagialah orang yang takut kepada Tuhan, oleh sebab mereka tahu siapa yang diharapkan.

16 Tuhan memperhatikan orang yang mengasihi Dia; Dia menjadi perlindungan yang kuat dan sandaran yang kukuh bagi mereka. Dia menaungi mereka daripada udara panas dan terik matahari, serta menolong dan menjaga mereka supaya tidak tersandung dan jatuh.

17 Dia membuat hati mereka gembira dan mata mereka bersinar. Dia memberkati hidup mereka dan memberi mereka kesihatan.

Korban yang Sejati

18 Orang yang mempersembahkan sesuatu yang diperoleh dengan curang, melakukan perbuatan yang tercela. Korban daripada orang jahat tidak dapat diterima.

19 Yang Maha Tinggi tidak berkenan kepada korban yang dipersembahkan orang jahat, dan korban yang banyak tidak menghasilkan pengampunan.

20 Orang yang mengambil milik orang miskin dan mempersembahkannya sebagai korban, sama dengan orang yang membunuh seorang anak di hadapan mata bapanya.

21 Bagi orang miskin, makanan adalah penyambung hidup. Jadi mengambil makanan daripada mereka sama sahaja dengan membunuh mereka.

22 Apabila merampas nafkah orang lain atau menahan upah seorang buruh, perkara itu sama sahaja dengan membunuh dia.

23 Kalau yang satu membangun dan yang lain merombak, apakah hasilnya selain jerih payah?

24 Kalau yang satu memberkati dan yang lain mengutuk, siapakah yang akan didengar oleh Tuhan?

25 Jika seorang membersihkan diri sesudah menyentuh mayat, tetapi menyentuhnya lagi, apa gunanya dia membersihkan diri?

26 Apabila seorang berpuasa kerana dosa-dosanya, tetapi pergi melakukan dosa yang sama, apa gunanya dia merendahkan diri dengan berpuasa? Siapakah yang akan mendengarkan doanya?