Sirakh 27 BMDC

1 Banyak orang berbuat dosa kerana wang, dan orang yang ingin menjadi kaya pura-pura buta.

2 Seperti pasak tertancap di antara dua batu yang rapat, begitu juga ketidakjujuran bersarang antara jual dan beli.

3 Seorang yang tidak bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan, keluarganya akan segera hancur.

Isi Hati Orang Diketahui Daripada Tutur Kata

4 Kalau ayakan digoyangkan, tinggallah sampahnya. Begitu juga yang kotor tinggal paling lama dalam fikiran manusia.

5 Seperti barang tembikar diuji dalam perapian, begitu juga watak manusia diuji dalam percakapannya.

6 Daripada buahnya diketahui pemeliharaan pokoknya. Begitu juga daripada tutur kata seseorang diketahui pemikiran hatinya.

7 Jangan puji seseorang sebelum mendengar jalan fikirannya, kerana itulah batu ujiannya.

Kejujuran

8 Jika engkau mengejar keadilan, engkau pasti berhasil. Keadilan seperti pakaian kebesaran yang membuat engkau lebih tampan.

9 Burung berkawan dengan burung sejenis. Begitu juga orang yang bertabiat jujur akan berlaku jujur.

10 Seperti singa mengincar mangsa, dosa mengincar orang yang melakukan kejahatan.

Percakapan yang Bodoh

11 Apabila orang salih bercakap, kata-kata mereka selalu bijaksana, sedangkan perkataan orang bodoh berubah-ubah seperti bulan.

12 Jika engkau di kalangan orang bodoh, carilah kesempatan untuk pergi, tetapi jika engkau di kalangan kaum cerdik cendekia, tinggallah selama mungkin.

13 Kata-kata orang bodoh menyakitkan hati; mereka tertawa di tengah keriangan dosa.

14 Sumpah serapah mereka membuat bulu roma orang menegak. Kalau mereka mula bertengkar, lebih baik menyumbat telinga.

15 Caci maki mereka membuat orang tersinggung, dan pertikaian mereka yang angkuh mengakibatkan pertumpahan darah.

Membocorkan Rahsia

16 Orang yang suka membocorkan rahsia kehilangan kepercayaan orang dan tidak akan mendapat kawan karib.

17 Cintailah sahabatmu dan setialah kepadanya. Tetapi jika engkau sudah membocorkan rahsianya, jauhkan diri daripadanya,

18 oleh sebab engkau sudah merosak persahabatan itu seperti orang membinasakan musuh mereka.

19 Seperti seekor burung yang kaulepaskan tidak akan kembali ke tanganmu lagi, begitu juga engkau telah kehilangan sahabatmu, dan dia tidak akan kembali kepadamu lagi.

20 Jangan kejar dia, oleh sebab dia sudah jauh. Dia telah lari seperti seekor rusa dari perangkap.

21 Luka dapat dibalut dan penghinaan dapat dimaafkan. Tetapi tidak ada harapan bagi orang yang telah membocorkan rahsia.

Sikap Munafik

22 Seorang yang mengedipkan mata kepadamu pasti merancang yang jahat, dan tidak seorang pun dapat menghalangi dia.

23 Apabila dia bersama-samamu, kata-katanya manis. Segala ucapanmu dipuji olehnya. Tetapi di belakangmu kata-katanya lain; dia menggunakan ucapanmu untuk menjatuhkan engkau.

24 Tidak ada yang lebih kubenci di dunia daripada orang seperti itu, dan Tuhan pun membenci dia.

25 Seorang yang melemparkan batu ke atas, melemparkannya ke atas kepalanya sendiri. Seorang yang melukai, dia sendiri kena cedera.

26 Seorang yang menggali lubang akan jatuh ke dalamnya, dan seorang yang memasang perangkap akan terjerat olehnya.

27 Seorang yang melakukan kejahatan akan ditimpa kejahatannya sendiri, dan dia tidak tahu dari mana datangnya.

28 Orang bongkak suka mengejek dan mencaci maki, tetapi hukuman mengadang mereka seperti seekor singa.

29 Orang yang suka melihat kebinasaan orang salih akan jatuh ke dalam perangkap, dan akan sengsara sebelum mati.

Membalas Dendam

30 Kemarahan dan dendam adalah sifat keji yang menguasai orang berdosa.