1 Hai anak-anakku, dengarlah aku, bapa kamu. Lakukanlah apa yang kukatakan kepada kamu, maka kamu akan selamat.
2 Tuhan menyuruh anak-anak menghormati bapa mereka dan mewajibkan mereka mengakui hak ibu mereka.
3 Kalau kamu menghormati bapa kamu, dosa kamu diampunkan,
4 dan kalau kamu menghargai ibu kamu, kamu seperti orang yang mengumpulkan harta.
5 Kalau kamu menghormati bapa kamu, kamu pun akan dibahagiakan kelak oleh anak-anak kamu, dan Tuhan akan mengabulkan doa-doa kamu.
6 Kalau kamu menghormati bapa kamu, kamu akan panjang umur. Kalau kamu taat kepada Tuhan, kamu akan menghibur ibu kamu
7 dan melayani ibu bapa seolah-olah kamu hamba mereka.
8 Hormatilah bapa kamu dalam segala perbuatan dan perkataan kamu, supaya kamu mendapat berkatnya.
9 Rumah tangga kamu akan kukuh kalau diberkati bapa kamu, tetapi hancur kalau dikutuk ibu kamu.
10 Jangan cari kehormatan bagi diri sendiri dengan merendahkan bapa kamu, kerana kalau dia dihina, hal itu bukan kehormatan bagi kamu.
11 Sebaliknya kalau kamu menghormati bapa kamu, kamu sendiri akan dihormati; tetapi kalau kamu menista ibu kamu, kamu akan mendapat malu.
12 Anakku, tolonglah bapamu pada masa tuanya. Jangan sakiti hatinya pada masa hidupnya.
13 Maafkanlah dia, juga kalau ingatannya sudah berkurang. Jangan remehkan dia kerana engkau sihat dan kuat.
14 Kebaikan yang kautunjukkan kepada bapamu tidak akan dilupakan Tuhan, melainkan akan dihitung untuk menghapus dosa-dosamu.
15 Apabila engkau dalam kesusahan, Tuhan akan mengingat kebaikanmu. Dosa-dosamu akan hilang seperti embun pada panas matahari.
16 Anak yang meninggalkan ibu bapa atau membangkitkan kemarahan mereka, sama sahaja dengan menghina Tuhan, dan dia akan dikutuk oleh Tuhan.
17 Anakku, hendaklah engkau rendah hati dalam semua perbuatanmu, maka engkau akan dicintai oleh orang yang diperkenankan Tuhan.
18 Sekalipun engkau masyhur, hendaklah engkau merendah diri; maka engkau akan menyenangkan hati Tuhan.
20 Hal itu demikian kerana besarlah kekuasaan Tuhan, dan Dia dihormati oleh orang yang rendah hati.
21 Jangan teliti hal-hal yang terlalu sukar bagimu atau menyelidik perkara yang melebihi kemampuanmu.
22 Renungkanlah perintah-perintah yang diberikan kepadamu. Yang tidak dinyatakan Tuhan kepadamu tidak perlu bagimu.
23 Jadi jangan bersusah payah menyelidik hal-hal yang di luar bidangmu, oleh sebab apa yang dinyatakan kepadamu sudah terlalu luas untuk dimengerti oleh akal manusia.
24 Banyak orang disesatkan oleh fikiran mereka sendiri. Pertimbangan mereka diselewengkan oleh sangkaan yang keliru.
26 Orang yang keras kepala akhirnya akan celaka, dan yang cinta kepada bahaya akan binasa oleh bahaya.
27 Orang yang keras kepala mencari banyak kesusahan bagi diri sendiri, dan orang yang berdosa menimbun dosa demi dosa.
28 Kesusahan orang sombong tidak dapat disembuhkan, kerana kejahatan sudah berurat berakar di dalam hati mereka.
29 Orang arif merenungkan erti pepatah. Orang bijaksana ingin mendapat murid yang suka mendengar.
30 Seperti api yang berkobar-kobar dipadamkan oleh air, begitu juga dosa dihapuskan oleh pemberian derma.
31 Orang yang berbuat baik kepada orang lain memikirkan masa depan sendiri, oleh sebab mereka sendiri akan menerima pertolongan apabila ditimpa kesukaran.