Sirakh 26 BMDC

Kebahagiaan Orang yang Mempunyai Isteri yang Baik

1 Berbahagialah seorang suami yang mempunyai isteri yang baik. Umurnya akan bertambah dua kali ganda.

2 Seorang isteri yang budiman menggembirakan hati suaminya sehingga dia dapat hidup tenteram sehingga akhir hayatnya.

3 Isteri yang baik ialah anugerah yang diberikan kepada orang yang takut akan Tuhan.

4 Sama ada kaya atau miskin, hati mereka selalu senang dan wajah mereka gembira.

Isteri yang Jahat

5 Ada tiga perkara yang menakutkan hatiku, iaitu: fitnah yang disebarkan di kota, orang ramai yang berkumpul, dan tuduhan palsu. Semua itu lebih buruk daripada kematian. Perkara keempat membuat aku ketakutan, iaitu

6 kesedihan dan sakit hati yang didatangkan oleh seorang wanita yang iri hati terhadap wanita lain, dan yang membidas setiap orang.

7 Seorang isteri yang jahat seperti kok lembu yang goyah; mengendalikan dia sama dengan memegang kala jengking.

8 Seorang wanita yang mabuk membuat orang marah sekali kerana dia tidak menyembunyikan tingkah lakunya yang memalukan.

9 Seorang isteri yang tidak setia dapat dikenal daripada pandangannya yang merangsang dan merayu.

10 Jagalah dengan ketat seorang anak perempuan yang keras kepala. Kalau tidak, dia akan menyalahgunakan setiap kesempatan yang diperolehnya.

11 Awasilah pandangannya yang tidak tahu malu, dan jangan hairan kalau dia berdosa terhadap engkau.

12 Di mana sahaja, dia akan duduk mengangkang di hadapan setiap lelaki yang mengingini dia, seperti pengembara yang haus minum apa sahaja yang didapatnya.

Pujian bagi Isteri yang Baik

13 Kecantikan seorang isteri menyenangkan suaminya, dan kepandaiannya membuat dia sihat.

14 Isteri yang pendiam ialah anugerah daripada Tuhan; tidak ada yang lebih berharga daripada isteri yang terdidik.

15 Isteri yang bersopan dan murni sangat berharga, dan tidak ada taranya.

16 Kecantikan isteri yang baik dalam rumah tangga yang teratur seperti matahari yang bersinar di langit Tuhan.

17 Wajah yang cantik dan tubuh yang elok seperti lampu yang bersinar pada kaki lampu di Rumah Tuhan.

18 Kaki yang molek dan pergelangan kaki yang kuat seperti tiang emas yang beralas perak.

Pengamatan yang Menyedihkan

28 Dua perkara membuat aku sedih dan yang ketiga membuat aku marah, iaitu:seorang askar yang jatuh miskin,seorang cerdas yang tidak dihormati,dan seorang baik yang menjadi jahat.Orang seperti itu akan dihukum oleh Tuhan dengan kematian.

29 Susah sekali bagi seorang pedagang untuk tidak membuat kesalahan. Tidak ada pedagang yang terlepas daripada dosa.