12 Orang berkabung selama tujuh hari bagi orang mati. Tetapi orang berkabung seumur hidup bagi orang bodoh dan orang jahat.
13 Jangan kunjungi orang bodoh dan jangan bercakap lama-lama dengan mereka. Berhati-hatilah terhadap mereka dan jangan sampai engkau disusahkan dan dicemarkan oleh mereka. Jauhilah mereka, maka engkau mendapat ketenteraman dan tidak diganggu oleh kebebalan mereka.
14 Orang seperti itu merupakan beban yang lebih berat daripada timah hitam. Julukan yang tepat baginya ialah “si tolol”.
15 Lebih mudah memikul pasir, garam, dan besi daripada bergaul dengan orang bodoh.
16 Alang yang dipasang dengan kukuh dalam bangunan, tidak dapat digoyahkan oleh gempa bumi. Begitu juga orang yang bersandar pada fikiran yang matang tidak akan bimbang dalam keadaan yang genting sekalipun.
17 Fikiran yang didasarkan atas akal yang sihat seperti hiasan turap pada dinding yang rata.
18 Batu-batu kecil yang diletakkan di atas tembok tidak bertahan kalau ditiup angin. Begitu juga orang yang takut kerana fikiran yang bodoh tidak bertahan dalam keadaan yang mengerikan.