16 Henokh menjadi teladan taubat bagi semua generasi. Dia menyenangkan hati Tuhan dan diangkat dari bumi ini.
17 Nuh seorang yang jujur dan tidak bercela. Waktu terjadi bencana besar, dia memungkinkan kelangsungan umat manusia. Kerana dia, masih ada manusia di bumi ini sesudah air bah.
18 Tuhan membuat perjanjian abadi dengannya: Segala yang hidup tidak akan dimusnahkan lagi oleh banjir.
19 Abraham menjadi nenek moyang yang termasyhur kepada banyak bangsa. Namanya harum, tidak ada tandingnya.
20 Dia mentaati hukum Allah Yang Maha Tinggi, dan Tuhan membuat perjanjian dengan dia. Perjanjian itu ditandai pada tubuhnya. Ketika diuji, dia ternyata setia.
21 Maka Tuhan berjanji dengan sumpah kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi berkat bagi dunia. Jumlah mereka akan bertambah sehingga tidak dapat dihitung seperti debu di bumi dan bintang-bintang di langit. Tanah pusaka mereka akan terbentang dari laut ke laut, dari Sungai Efrat hingga ke hujung-hujung bumi.
22-23 Tuhan membaharui perjanjian dengan Ishak demi Abraham bapanya, kemudian dengan Yakub. Dia mengulangi janji-Nya bahawa keturunan Abraham akan menjadi berkat bagi seluruh umat manusia. Tuhan menegaskan kepada Yakub bahawa dia akan diberkati, lalu memberi kepadanya tanah pusaka yang akan menjadi miliknya. Tanah itu dibahagi-bahagikannya kepada kedua belas suku.