14 Dua kali sehari dengan tiada hentinya, dipersembahkannya korban untuk menyenangkan hati Tuhan.
15 Musa mentahbiskan Harun dengan menuangkan minyak upacara ke atas kepalanya. Dengan itu Tuhan membuat perjanjian abadi dengan Harun dan keturunannya, bahawa mereka akan mengabdikan diri kepada Tuhan sebagai imam-imam-Nya dan memberkati umat atas nama-Nya.
16 Daripada seluruh umat manusia Tuhan telah memilih Harun untuk mempersembahkan korban dan membakar kemenyan yang harum, supaya Tuhan ingat kepada umat-Nya dan mengampunkan dosa-dosa mereka.
17 Tuhan mempercayakan perintah-perintah-Nya kepada Harun dan memberi dia kuasa untuk membuat keputusan-keputusan yang sah dengan maksud memberi kesaksian kepada Israel dan menerangkan hukum-Nya kepada mereka.
18 Pada suatu ketika apabila umat Allah masih di padang gurun, sekelompok orang luar yang cemburu dan marah memberontak terhadap Harun. Mereka ialah Datan, Abiram, dan Korah dengan pengikut-pengikutnya.
19 Tuhan tidak suka melihat perbuatan mereka. Dia sangat murka sehingga membuat keajaiban dan membinasakan mereka dalam nyala api.
20 Lalu Tuhan menambah kehormatan Harun; persembahan daripada bahagian pertama hasil bumi diperuntukkan bagi imam-imam supaya mereka mempunyai cukup makanan.