3 Dengan perintahnya, berhentilah bencana yang menimpa Mesir. Tuhan membuat dia dihormati oleh raja-raja. Dia menunjukkan cahaya hadirat-Nya kepadanya dan memberikannya perintah- perintah untuk umat-Nya.
4 Dari seluruh umat manusia, Tuhan memilih dan mengkhususkan Musa kerana dia setia dan rendah hati.
5 Tuhan memperdengar suara-Nya kepadanya dan membawa dia ke dalam awan yang gelap. Di sana Tuhan berfirman dengan dia secara berhadapan muka dan memberi dia perintah-perintah-Nya, iaitu hukum yang memberi kehidupan dan pengetahuan. Hukum itu diberikan kepadanya, supaya dia dapat mengajarkan perjanjian dan ketetapan-ketetapan Tuhan kepada bangsa Israel.
6 Tuhan mengangkat Harun, seorang suci seperti Musa saudaranya daripada suku Lewi.
7 Tuhan membuat perjanjian abadi dengan dia dan menjadikan dia imam bagi umat. Tuhan membahagiakan dia dengan perhiasan yang indah-indah dan memberi dia pakaian kebesaran,
8 sempurna dalam semaraknya. Harun diteguhkan juga dengan tanda-tanda kekuasaan: celana linen, jubah, dan efod.
9 Di sekeliling kelepet jubah itu ada hiasan berupa buah delima dan banyak loceng emas yang berbunyi waktu dia berjalan. Bunyinya terdengar di Rumah Tuhan dan mengingatkan Tuhan kepada umat-Nya.