5 Tuhan memperdengar suara-Nya kepadanya dan membawa dia ke dalam awan yang gelap. Di sana Tuhan berfirman dengan dia secara berhadapan muka dan memberi dia perintah-perintah-Nya, iaitu hukum yang memberi kehidupan dan pengetahuan. Hukum itu diberikan kepadanya, supaya dia dapat mengajarkan perjanjian dan ketetapan-ketetapan Tuhan kepada bangsa Israel.
6 Tuhan mengangkat Harun, seorang suci seperti Musa saudaranya daripada suku Lewi.
7 Tuhan membuat perjanjian abadi dengan dia dan menjadikan dia imam bagi umat. Tuhan membahagiakan dia dengan perhiasan yang indah-indah dan memberi dia pakaian kebesaran,
8 sempurna dalam semaraknya. Harun diteguhkan juga dengan tanda-tanda kekuasaan: celana linen, jubah, dan efod.
9 Di sekeliling kelepet jubah itu ada hiasan berupa buah delima dan banyak loceng emas yang berbunyi waktu dia berjalan. Bunyinya terdengar di Rumah Tuhan dan mengingatkan Tuhan kepada umat-Nya.
10 Tuhan juga mengenakan jubah suci padanya yang disulam dengan benang emas, ungu tua, dan ungu muda buatan seorang ahli sulam, penutup dada dengan Urim dan Tumim, benang merah yang dipintal oleh seorang tukang
11 bertatahkan batu-batu permata yang diukir dengan nama-nama. Batu-batu itu diikat dengan emas pada penutup dada oleh seorang tukang emas untuk mengingatkan Tuhan kepada dua belas suku Israel.