9 Lalu engkau diangkat ke syurga dalam angin puyuh yang bernyala-nyala, dengan sebuah kereta kuda yang ditarik kuda berapi.
10 Dalam Alkitab tertulis bahawa engkau akan kembali pada waktu yang ditentukan untuk meredakan kemurkaan Allah, sebelum kemurkaan itu meledak. Juga tertulis bahawa engkau akan mendamaikan bapa dengan anak serta memulihkan suku-suku Israel.
11 Berbahagialah orang yang sempat melihat engkau datang, dan mereka yang telah meninggal dalam kasih, kerana pasti kita pun akan hidup.
12 Elia diselubungi angin puyuh, lalu rohnya menguasai Elisa. Selama hidup Elisa, dia tidak takut kepada penguasa-penguasa dan tidak dapat ditundukkan oleh sesiapa pun.
13-14 Tidak ada yang terlalu sukar baginya. Selama hidupnya dia melakukan mukjizat-mukjizat, dan sesudah meninggal pun dia masih bernubuat dan melakukan keajaiban.
15 Tetapi walaupun demikian, bangsanya tidak meninggalkan cara hidup mereka yang berdosa, sehingga mereka dibuang dari negeri mereka dan dicerai-beraikan di seluruh dunia. Daripada bangsa itu tinggal sebahagian kecil sahaja dengan seorang penguasa daripada keturunan Raja Daud.
16 Sebahagian daripada mereka melakukan apa yang berkenan kepada Tuhan, sedangkan yang lain terus berdosa.