1 Lagu ziarah.Ya TUHAN, ingatlah akan Daud,dan segala kesusahan yang ditanggungnya.
2 Ingatlah akan janjinya kepada-Mu, ya TUHAN,dan nazarnya kepada-Mu, Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.
3 Katanya, “Aku tidak akan pulang atau tidur;
4 aku tidak akan berehat atau melelapkan mata,
5 sehingga aku membina rumah bagi TUHAN,tempat kediaman bagi Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.”
6 Kami mendengar tentang Tabut Perjanjian di Betlehem,dan menemuinya di padang Yaar.
7 Kami berkata, “Marilah kita pergi ke Rumah TUHAN;marilah kita sembah Dia di hadapan takhta-Nya.”
8 Datanglah dan tinggallah di Rumah-Mu, ya TUHAN,bersama-sama Tabut Perjanjian, lambang kekuasaan-Mu.
9 Hendaklah imam-imam-Mu sentiasa melakukan apa yang benar;hendaklah umat-Mu bersorak-sorak kerana sukacita.
10 Engkau telah berjanji kepada Daud, hamba-Mu.Ya TUHAN, janganlah tolak raja pilihan-Mu.
11 Engkau telah berjanji dengan sumpah kepada Daud -Engkau tidak akan memungkiri janji ini:“Aku akan melantik salah seorang anakmu menjadi raja,dan dia akan mewarisi takhtamu.
12 Jika anak-anakmu setia kepada perjanjian-Ku,dan kepada perintah yang Aku beri mereka,maka anak-anak mereka juga akan mewarisi takhtamu selama-lamanya.”
13 TUHAN telah memilih Sion;Dia hendak menjadikannya tempat tinggal-Nya.
14 Dia berfirman, “Di sinilah tempat kediaman-Ku selama-lamanya;Aku hendak tinggal di tempat ini.
15 Aku akan memberi Sion segala keperluannya sehingga berlimpah-limpah;Aku akan mengenyangkan penduduknya yang miskin dengan makanan.
16 Imam-imamnya memperlihatkan penyelamatan daripada-Ku,dan rakyatnya akan bersorak-sorak kerana sukacita.
17 Di Sion seorang keturunan Daud akan Aku jadikan raja yang agung;Aku akan mengukuhkan pemerintahan raja pilihan-Ku.
18 Aku akan mempermalukan musuh-musuhnya,tetapi kerajaannya aman dan makmur.”