1 Mazmur. Lagu untuk hari Sabat.
2 Alangkah baiknya bersyukur kepada-Mu, ya TUHAN,menyanyi untuk memuji Allah Yang Maha Tinggi,
3 mengisytiharkan kasih-Mu pada setiap pagi,dan kesetiaan-Mu pada setiap malam,
4 dengan iringan alat muzik yang bertali,dan dengan iringan kecapi.
5 Perbuatan-Mu, ya TUHAN, menggembirakan aku;aku menyanyi dan bergirang kerana karya-Mu.
6 Ya TUHAN, sungguh besar perbuatan-Mu!Sungguh dalam fikiran-Mu!
7 Orang bodoh tidak dapat mengertinya,orang dungu tidak dapat memahaminya;
8 orang jahat mungkin tumbuh subur seperti rumput,dan orang yang melakukan kejahatan mungkin makmur;namun mereka akan dibinasakan sama sekali,
9 kerana Engkau, ya TUHAN, penguasa tertinggi selama-lamanya.
10 Kami tahu bahawa musuh-Mu akan dimusnahkan,dan semua orang jahat akan dikalahkan.
11 Engkau telah menjadikan aku sekuat lembu jantan yang liar;Engkau telah memberkati aku dengan kebahagiaan.
12 Aku telah melihat kekalahan musuhku,dan mendengar teriakan orang jahat yang menyerang aku.
13 Orang jujur akan menjadi makmur seperti pokok palma;mereka akan menjadi kuat seperti pokok sedar di Lebanon.
14 Mereka umpama pokok yang ditanam di Rumah TUHAN,seperti pokok yang tumbuh dengan subur di Rumah Allah kita,
15 dan tetap menghasilkan buah pada masa tua,dan sentiasa menghijau serta kuat.
16 Hal ini menunjukkan bahawa TUHAN adil,dan tidak terdapat kecurangan pada pembelaku.