1 Mazmur Daud, ketika mempersembahkan korban peringatan.
2 Ya TUHAN, jangan hukum aku walaupun Engkau murka.
3 Panah-Mu melukai tubuhku;tangan-Mu memukul aku.
4 Aku sakit parah kerana kemarahan-Mu;seluruh badanku sakit kerana dosaku.
5 Aku lemas dalam banjir dosaku;dosaku terlalu berat bagiku.
6 Kerana perbuatanku yang bodoh,luka-lukaku bernanah dan busuk.
7 Aku menjadi bongkok, aku tersungkur;aku berdukacita sepanjang hari.
8 Demam membakar badanku,dan aku sakit tenat.
9 Aku remuk-redam dan kehabisan tenaga;aku mengeluh kerana hatiku susah.
10 Ya Tuhan, Engkau tahu keinginanku;Engkau mendengar segala keluhanku.
11 Jantungku berdebar-debar, tenagaku hilang,dan mataku sudah menjadi suram.
12 Sahabat dan jiranku tidak mahu menghampiri aku kerana kudisku;bahkan keluargaku pun turut menjauhi aku.
13 Orang yang hendak membunuh aku memasang perangkap untukku,dan mereka yang ingin menyakiti aku mengancam hendak membinasakan aku;sepanjang hari mereka berkomplot menentang aku.
14 Aku umpama orang pekak yang tidak dapat mendengar,umpama orang bisu yang tidak dapat bercakap.
15 Aku umpama orang yang tidak menjawab,kerana tidak dapat mendengar.
16 Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN;dan Engkau, ya Tuhan, Allahku, akan mengabulkan doaku.
17 Jangan biarkan musuhku mentertawakan penderitaanku;jangan biarkan mereka berasa megah kerana kejatuhanku!
18 Aku hampir jatuh,dan sentiasa kesakitan.
19 Aku mengakui dosaku;hatiku cemas memikirkan kesalahanku.
20 Musuh-musuhku sihat dan kuat;banyak orang yang membenci aku tanpa sebab.
21 Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan,menentang aku kerana aku berusaha melakukan yang benar.
22 Jangan tinggalkan aku, ya TUHAN,jangan jauhi aku, ya Allahku!
23 Tolonglah aku sekarang, ya Tuhan penyelamatku!