Mazmur 147 BM

Pujian untuk Allah Yang Maha Kuasa

1 Pujilah TUHAN!Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Allah kita;memang elok dan patut kita memuji Dia.

2 TUHAN sedang memulihkan Yerusalem;Dia sedang membawa orang Israel kembali dari pembuangan.

3 Dia menyembuhkan orang yang hancur hati,dan membalut luka mereka.

4 Dia telah menentukan jumlah bintang,dan memberikan nama setiap bintang.

5 Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita;kebijaksanaan-Nya tidak terhingga.

6 Dia memberikan kuasa kepada orang yang tertindas,tetapi Dia mengalahkan dan mempermalukan orang jahat.

7 Nyanyikanlah lagu pujian untuk TUHAN,dan mainkanlah kecapi untuk Allah kita.

8 Dia membentangkan awan di langit;Dia menurunkan hujan ke bumi,dan menumbuhkan rumput di bukit.

9 Dia memberikan makanan kepada binatang,dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap.

10 Dia tidak suka akan kuda yang kuat,ataupun askar yang berani;

11 tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya,orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal.

12 Pujilah TUHAN, hai Yerusalem!Pujilah Allahmu, hai Sion!

13 Dia menguatkan pintu gerbangmu;Dia memberkati umatmu.

14 Dia menjaga keamanan negerimudan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik.

15 Dia memberikan perintah kepada bumi,dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera.

16 Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut,Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu.

17 Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil;tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu.

18 Kerana firman-Nya, air batu menjadi cair;Dia meniupkan angin, maka air pun mengalir.

19 Dia memberikan firman-Nya kepada umat-Nya,peraturan dan hukum-Nya kepada Israel.

20 Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa lain;mereka tidak mengenal hukum-Nya.Pujilah TUHAN!