1 Mazmur Asaf.Allah sungguh baik kepada umat Israel,kepada mereka yang berhati murni.
2 Tetapi hatiku bimbang,imanku hampir hilang,
3 kerana aku cemburu terhadap orang sombong,ketika aku melihat orang jahat menjadi makmur.
4 Mereka tidak sakit;mereka kuat dan sihat.
5 Mereka tidak menanggung penderitaan,tidak ditimpa kesusahan seperti orang lain.
6 Oleh itu mereka bersikap sombong,dan selalu bertindak dengan ganas;
7 hati mereka penuh dengan kejahatan,dan fikiran mereka sibuk dengan rancangan kejam.
8 Mereka mentertawakan orang lain dan mengatakan yang jahat,mereka sombong dan merancang untuk menindas orang.
9 Mereka mengeji Allah yang di syurga,dan bercakap dengan sombong kepada manusia di bumi,
10 sehingga umat Allah pun mendengarkan merekadan yakin akan segala yang diucapkan mereka.
11 Mereka berkata, “Pasti Allah tidak tahu akan apa yang berlaku;Yang Maha Tinggi tidak akan mengetahui perbuatan kita.”
12 Begitulah keadaan orang jahat;hidup mereka senang dan harta mereka terus bertambah.
13 Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya suci,tiada gunanya aku menjauhi dosa.
14 Ya Allah, sepanjang hari aku menderita;setiap pagi aku diseksa.
15 Sekiranya aku berkata begitu,aku mengkhianati umat-Mu.
16 Aku cuba memahami hal itu,tetapi terlalu sukar bagiku,
17 sehingga aku masuk ke dalam Rumah-Mu,barulah aku memahami kesudahan semua orang jahat itu.
18 Engkau pasti meletakkan mereka di tempat-tempat yang licindan menyebabkan mereka jatuh dan binasa.
19 Mereka dibinasakan dengan serta-merta;sungguh dahsyat kesudahan mereka.
20 Mereka umpama mimpi yang menghilang pada waktu pagi,ketika Engkau bangkit,ya Tuhan, mereka pun lenyap.
21 Ketika aku sakit hati,dan perasaanku dilukai,
22 aku bodoh seperti binatang;aku tidak faham akan kehendak-Mu.
23 Namun aku tetap di samping-Mu,dan Engkau memegang tangan kananku.
24 Engkau membimbing aku dengan nasihat,dan kelak Engkau menyambut aku dengan kehormatan.
25 Siapa lagi yang aku miliki di syurga kecuali Engkau?Tiada lagi yang aku ingini di bumi ini selain Engkau.
26 Sekalipun jiwa ragaku menjadi lemah,Engkaulah kekuatanku, ya Allah;hanya Engkau yang aku perlukan selama-lamanya.
27 Orang yang meninggalkan Engkau pasti musnah,Engkau akan membinasakan mereka yang tidak setia kepada-Mu.
28 Tetapi bagiku, sungguh baik berada di samping Allah.Aku mendapat perlindungan daripada TUHAN Raja,dan aku akan memberitakan segala perbuatan-Nya.