Mazmur 139 BM

Allah Maha Tahu dan Memelihara Semuanya

1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku,dan Engkau mengenal aku.

2 Engkau mengetahui segala perbuatanku;dari jauh Engkau memahami fikiranku.

3 Engkau melihat aku,sama ada aku sedang bekerja ataupun berehat;Engkau mengetahui segala perbuatanku.

4 Bahkan sebelum aku bercakap,Engkau sudah tahu apa yang akan kukatakan.

5 Engkau mengelilingi aku di segala penjuru;Engkau melindungi aku dengan kuasa-Mu.

6 Pengetahuan-Mu tentang diriku sangat dalam;terlalu dalam bagi pengertianku.

7 Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu?Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu?

8 Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana;jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga.

9 Jika aku terbang ke ufuk timur,atau tinggal di hujung barat yang paling jauh,

10 di sana juga Engkau akan memimpin aku,dan di sana pun Engkau akan menolong aku.

11 Jika aku minta kegelapan melingkupi aku,ataupun cahaya di sekelilingku menjadi malam,

12 namun bagi-Mu kegelapan itu tidak gelap,dan malam itu cerah seperti siang.Bagi-Mu gelap dan terang sama sahaja.

13 Engkau menciptakan segala bahagian badanku;Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku.

14 Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa.Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan.Aku benar-benar menyedarinya.

15 Ketika tulang-tulangku dijadikan,dan dirangkaikan dengan teliti di dalam rahim ibuku,ketika aku tumbuh di sana secara rahsia,Engkau tahu bahawa aku di sana.

16 Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku.Jangka masa hidupku sudah ditetapkandan dicatat di dalam kitab-Mu,bahkan sebelum satu hari pun bermula.

17 Ya Allah, betapa sukarnya fikiran-Mu bagiku,dan betapa banyak jumlahnya.

18 Jika dihitung, bilangannya lebih banyak daripada butir pasir.Ketika aku bangun, aku masih bersama-sama-Mu.

19 Ya Allah, bunuhlah orang jahat,dan jauhkanlah pengganas daripadaku!

20 Mereka memfitnah Engkau;mereka menjahatkan nama-Mu.

21 Ya TUHAN, aku benci akan orang yang membenci Engkau!Aku berasa jijik terhadap orang yang melawan Engkau!

22 Aku membenci mereka dengan sepenuh hati;aku menganggap mereka musuhku.

23 Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku;ujilah aku dan ketahuilah fikiranku.

24 Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku,dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.