Mazmur 59 BM

Doa Minta Perlindungan

1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia.

2 Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku;lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!

3 Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu;lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!

4 Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku;orang kejam berkumpul mengadang aku.Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,

5 bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN,mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.

6 Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku;lihatlah sendiri, ya Allah Israel!Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa;jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.

7 Pada waktu senja mereka pulang,melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

8 Dengarlah hinaan dan ancaman mereka.Kata-kata mereka tajam seperti pedang;mereka menyangka tiada orang yang mendengar.

9 Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka;Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.

10 Aku yakin akan kekuatan-Mu;ya Allah, Engkaulah pernaunganku.

11 Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku;Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.

12 Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa.Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka,ya Tuhan, pelindung kami.

13 Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka,biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka.Kerana mereka menyumpah dan berdusta,

14 binasakanlah mereka semasa Engkau murka;binasakanlah mereka semuanya.Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel,dan Dia memerintah semua orang di dunia.

15 Pada waktu senja musuh-musuhku pulang,melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

16 Mereka berkeliaran mencari makanan,dan menggeram jika tidak kenyang.

17 Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu;setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu.Engkau telah menjadi pernaungan bagiku,perlindungan pada masa kesusahanku.

18 Aku akan memuji Engkau, pembelaku;Allah ialah pernaunganku,Allah yang mengasihi aku.