1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud
2 setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba.
3 Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu;hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar.
4 Basuhlah aku daripada segala kejahatanku,dan bersihkanlah aku daripada dosaku.
5 Aku mengakui kesalahanku;aku sentiasa sedar akan dosaku.
6 Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja,dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat.Maka patutlah Engkau menghakimi aku;adillah Engkau ketika menghukum aku.
7 Aku jahat sejak aku dilahirkan;aku berdosa sejak aku dalam kandungan.
8 Engkau menghendaki ketulusan hati;penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu.
9 Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih;basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji.
10 Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan,agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan,akan menjadi gembira semula.
11 Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku,dan hapuskanlah segala kejahatanku.
12 Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku,baharuilah batinku agar menjadi teguh.
13 Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu;janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku.
14 Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu,dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu.
15 Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa,dan mereka akan kembali kepada-Mu.
16 Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku,lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu.
17 Tolonglah aku berkata-kata,ya Tuhan,lalu aku akan memberi Engkau pujian.
18 Engkau tidak mahu korban yang dipersembahkan;jika aku mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Mu,Engkau pun tidak berkenan.
19 Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah;hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima.
20 Tunjukkanlah kebaikan-Mu kepada Sion, ya Allah,binalah tembok-tembok Yerusalem semula.
21 Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang layak,serta korban-korban yang kami bakar;di atas mazbah-Mu, lembu jantan akan dipersembahkan.